Friday 30 December 2011

.: TiAdA kAiN kaFaN uNtukMu SahAbaT! :.



Bismillahirrahmanirrahim
(Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani)

 Mus'ab bin Umair merupakan pendakwah yang hebat,penuh kesungguhan dan kebijaksanaan. Antara kisah yang masyhur diriwayatkan dalam kitab Hayat al-Sahabah karangan Sheikh Yusuf al-Kandahlawi dan al-Rahiq al-Makhtum, karangan Safi al-Rahman al-Mubarakfuri, tentang kisah pengembaraan dakwah Mus'ab di Madinah serta kejayaannya berdakwah kepada Sa'ad bin Mu'az dan Usaid bin Khudair yang merupakan tokoh pemimpin golongan bangsawan Madinah. 

Sebelum memeluk Islam lagi, Mus'ab terkenal sebagai seorang yang sentiasa berpakaian kemas dan mewah sehingga dia menjadi kegilaan gadis-gadis di Makkah. Namun,segala-galanya berubah selepas cahaya keislaman mula menyinari hatinya. Sokongan kebendaan daripada ibunya mula diberhentikan selepas ibunya mendapat tahu keislamannya. Mus'ab kini tampil dalam keadaan yang amat sederhana dan berpakaian yang serba zuhud,lantas meninggalkan kesenangan dan penampilan silamnya.

Antara misi penting yang digalas olehnya adalah untuk menyebarkan dan mengajarkan agama Islam di Madinah, setelah orang dari Madinah datang ke Makkah menyatakan keislamannya dalam peristiwa baiah. Mus'ab telah berhijrah ke Madinah lebih awal daripada para sahabat yang lain,atas dasar arahan Nabi Muhammad s.a.w. 

MADINAH BERCAHAYA

Dalam satu pengalamannya ketika berada di Madinah, beliau telah keluar bersama As'ad bin Zurarah ke sebuah perkampungan Bani Zafar. Mereka duduk di tepi perigi Marq dan Mus'ab mengajar kepada golongan yang baru memeluk Islam itu beberapa perkara tentang Islam. Kedatangan mereka telah disedari oleh Sa'ad bin Mu'az dan Usaid bin Khudair,lantas Sa'ad mengarahkan Usaid untuk menghalau Mus'ab dan kumpulannya dari situ. Sa'ad berteriak kepada Usaid : "Dua orang pemuda itulah yang telah memperbodohkan amalan kita. Ayuh! Kau halau mereka dari sini. Kalaulah bukan kerana As'ad bin Zurarah itu anak saudaraku, tentu aku sendiri yang akan menghalaunya."

Usaid lalu mengambil tombaknya dan menuju ke arah kumpulan Mus'ab dan As'ad. Sebaik sahaja As'ad terlihat kelibat Usaid yang sedang menuju ke arah mereka, As'ad merasakan itu adalah suatu peluang besar, lalu beliau berkata kepada Mus'ab : "Usaid adalah ketua kabilah dan dia sedang menuju ke sini. Aku berharap kau dapat menjelaskan kepadanya tentang keagungan Allah." Usaid tiba di hadapan mereka sambil membentak keras dan memberi amaran kepada mereka berdua agar segera beredar. Mus'ab dengan tenang menjawab : "Sudikah tuan duduk sebentar dan dengar dahulu perkara yang ingin kami sampaikan? sekiranya tuan berasa senang dengan kata-kata kami,teruskan mendengarkannya,dan jika tuan tidak menyukainya, kami akan berhenti dan beredar dari sini." "itu adalah terbaik dan seadilnya.",jawab Usaid lalu beliau menekan tombaknya ke tanah dan memberi perhatian terhadap apa yang ingin disampaikan oleh Mus'ab.

Mus'ab lalu membaca beberapa potong ayat al-Quran dan menerangkan tentang Islam kepadanya. Ternyata kalimah kebenaran yang diungkapkan dengan keikhlasan oleh Mus'ab bin Umair telah menusuk masuk dalam hati Usaid, menyebabkan beliau bertanya : "Alangkah indah kalimah yang engkau ungkapkan,bagaimana aku hendak memeluk agama ini ?" Mus'ab menerangkan : "Pertamanya, kamu harus bersuci kemudian membersihkan pakaian,seterusnya mengucap dua kalimah syahadah dan akhirnya kamu hendaklah menunaikan solat dua rakaat," Usaid kemudiannya melaksanakan tuntutan-tuntutan tersebut dan kemudian mencadangkan pula agar mereka menyeru Sa'ad bin Mu'az pula. Beliau berkata : "Bersamaku ada seorang lelaki,jika beliau masuk Islam,maka tidak ada seorang pun daripada kaumnya yang tidak akan mengikutinya." Usaid akhirnya berjaya mengatur pertemuan antara Sa'ad dengan Mus'ab dan akhirnya dengan kebijaksanaan Mus'ab, Sa'ad telah memeluk Islam pada hari itu bersama-sama sekalian pengikut dan kaumnya.

Itulah sekelumit kisah daripada pengembaraan dakwah Mus'ab bin Umair di Madinah. Tiada pintu yang tidak diketuknya, melainkan setiap ahlinya akan masuk Islam sehingga segenap pelosok Madinah bercahaya dengan aqidah yang benar ini. Berita ini tiba kepada Rasulullah dan menyebabkan Baginda amat gembira, lalu datang perintah untuk berhijrah selepas keislaman majoriti penduduk Madinah.

KEDUA-DUA TANGANNYA DI CANTAS

Kisah keberanian Mus'ab ini terserlah begitu jelas dalam peperangan Uhud, apabila takdir Allah telah menetapkan beliau syahid. Dalam peperangan itu, beliau telah menunjukkan kecekalan yang luar biasa. Ketika keadaan tentera-tentera Islam menjadi genting dan berkecamuk,tentera Musyrikin telah mengambil peluang ini untuk menghancurkan saf tentera Islam, dengan ikhtiar untuk menjatuhkan panji Islam yang dibawa oleh Mus'ab. Dalam serangan hebat itu,tangan kanannya telah dicantas,akan tetapi Mus'ab sempat memegang panji itu dengan tangan kirinya pula. Namun,serangan masih berterusan sehingga mereka berjaya menetak tangan kirinya sehingga terputus. Namun,dengan sisa-sisa tenaga yang ada padanya,beliau mengepit panji itu di antara dada dan lehernya sehingga akhirnya beliau syahid dibunuh oleh Ibn Qami'ah.

Semasa pengebumiannya,tiada kain yang cukup untuk menutup jasadnya. Apabila kain ditarik untuk menutup wajahnya,maka kakinya akan terdedah. Apabila kain itu ditarik untuk menutup kedua-dua kakinya, maka kepalanya pula akan terbuka. Akhirnya Nabi s.a.w memerintahkan agar kain itu digunakan untuk menutup wajahnya manakala bahagian kakinya ditutup dengan daun-daun kering.

Semoga kisah Mus'ab bin Umair ini dapat menjadi inspirasi kepada setiap pemuda Islam hari ini dalam memperjuangkan Islam..InsyaAllah~


                                                                                                         solusi 38...

fisabilillah~

0 comments:

Post a Comment