Saturday 31 December 2011

.: BitTaUfiQ WanNajah :.


                                     
                                    Bismillahirrahmanirrahim

Ku mulakan bicara dengan lafaz syukur kepada Allah kerana masih memilih
hati-hati ini untuk terus mendiami bumi Allah yang telah tersedia di dalamnya
pelbagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Dan ku panjatkan syukur
kepadaNya kerana masih memberi kesempatan kepada ku untuk terus 
mencoret sesuatu, insyaAllah sebagai peringatan buatku dan juga teman-teman  yang lain.
Alhamdulillah~

InsyaAllah, beberapa hari lagi minggu peperiksaan akan bermula. Atau mungkin
ada universiti yang dah mula pun. Dan seperti biasa, masa minggu-minggu
peperiksaan ni mesti kebanyakan daripada kita akan berusaha sehabis baik dan
menggunakan masa-masa terakhir ni sebaik mungkin supaya dapat cover semua 
topik yang kita dah belajar kan. Setiap orang berbeza cara belajarnya. Ada orang 
yang boleh study awal-awal lagi,jadi waktu-waktu sekarang ni tak serabut sangat
untuk fikir mana yang tak habis belajar lagi. Ada orang pula lebih berkesan 
kalau belajar masa last minutes.Cara itu semua bergantung pada diri masing-masing dan kemampuan diri sendiri. 

Tapi perlu kita ingat di sini, walau bagaimanapun usaha kita, jangan lupa 
pergantungan kita pada Allah. Yang memberi semangat dan tenaga untuk kita 
berusaha itu pun Allah.Yang memberi kejayaan dan kegagalan itu juga Allah. 
Semuanya dengan izin Allah.Apa yang penting, jangan kita lupa konsep 
USAHA, TAWAKAL, dan REDHA.Gunakan kesempatan yang ada untuk 
berusaha sehabis baik dan berdoa agar Allah memberikan yang terbaik.
Doa itu juga salah satu usaha. Tapi jika berdoa sahaja tanpa diselangi dengan
usaha untuk bertindak,tidak boleh juga. Allah pasti memberikan kejayaan 
untuk orang-orang yang telah berusaha. Cuma cepat,atau lambat sahaja.

Menyentuh tentang doa, mestilah semua daripada kita akan minta yang baik-baik
sahaja dari Allah kan. Mana ada manusia yang ingin keburukan untuk diri sendiri.
Sebagai contoh, kita selalu minta kejayaan,kesenangan,kekayaan, kemewahan
dan macam-macam lagi daripada Allah. Dalam doa kita tu,kita sebut sebiji-sebiji 
apa yang kita nak.. "Ya Allah,bagilah aku straight A's dalam SPM.", "Ya Allah,
bagilah aku 4.0 pointer untuk exam kali ni.",dan macam-macam lagi doa yang kita 
minta. Tapi satu kita lupa, minta yang terbaik dari Allah. Belum tentu dapat 
keputusan yang cemerlang itu adalah yang tebaik buat kita. Belum pasti kekayaan 
dan kesenangan di dunia ini adalah yang terbaik untuk kita. Barangkali itu semua 
ujian daripada Allah untuk hambanya. 


Apabila kita berdoa memohon yang terbaik daripada Allah selepas kita berusaha,
walaupun Allah letakkan kegagalan untuk kita masa tu,kita akan redha sebab yang
kita pohon adalah yang terbaik buat kita,bukan kejayaan. Andai kegagalan yang
terbaik buat kita masa tu,kita akan terima. Dan harus yakin dengan Allah.Setiap apa
yang Allah tentukan adalah yang paling baik untuk hamba-hambanya. Allah tidak 
akan pernah menzalimi hambaNya, tapi hambaNya lah yang menzalimi diri sendiri.

      "Sesungguhnya Allah tidak pernah menzalimi manusia sedikit pun,tetapi 
                                manusia itulah yang menzalimi dirinya sendiri
                                                                (10 : 44)

Kemudian,setelah segala usaha yang kita lakukan,kita harus bertawakal kepadaNya.
Serahkan segala-galanya kepada Allah. Dia tahu apa yang kita tidak tahu. Dia tahu
mana satu yang terbaik untuk diri kita.

      "Jika Allah menolong kamu,maka tidak ada yang dapat mengalahkanmu,
             tetapi jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan),
               maka siapa yang dapat menolongmu setalah itu? Karena itu,
                  hendaklah kepada Allah saja orang mukmin bertawakal"
                                                            (3 : 160)


Orang yang betul-betul mengamalkan tawakal ini akan meletakkan sepenuh 
keyakinan terhadap Allah. Bahawa pada Allah lah sepenuh pergantungannya di 
letakkan, Allah lah sebaik-baik Penilai usaha-usahanya dan Allah lah sebaik-baik
Pemberi Ganjaran bagi setiap usahanya. Dan orang yang bertawakal kepada
Allah akan redha dengan segala yang Allah berikan untuknya, sama ada kejayaan
mahupun kegagalan. 

Paling penting di sini adalah jangan lupa dengan Dia. Dalam kesibukan kita 
mengulangkaji pelajaran,jangan kita lupa tanggungjawab kita terhadap Allah dan 
agama.Sentiasa refresh niat kita belajar kerana apa,untuk apa.Dan pastikan kita 
sentiasa letak pergantungan kita hanya pada Allah,kerana Penilai usaha-usaha kita
 hanyalah Dia..

Akhir kalam~
Semoga berjaya buat sahabat-sahabat seperjuangan yang akan menghadapi 
peperiksaan.Semoga dapat lakukan yang terbaik. Andai kejayaan yang bakal kalian
perolehi, kuucapkan tahniah, tapi andai kegagalan itu yang menjadi hasilnya, jangan
kalian bersedih ataupun kecewa,kerana itu yang terbaik dari Allah. Kejayaan itu 
adalah untuk disyukuri dan dipertingkatkan lagi,kegagalan juga adalah untuk 
syukuri dan diperbaiki lagi. Gagal sekali tidak bermakna gagal buat selamanya.
Salam imitihan dari ku~ Bittaufiq wannajah fi imtihan~




Friday 30 December 2011

.: TiAdA kAiN kaFaN uNtukMu SahAbaT! :.



Bismillahirrahmanirrahim
(Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani)

 Mus'ab bin Umair merupakan pendakwah yang hebat,penuh kesungguhan dan kebijaksanaan. Antara kisah yang masyhur diriwayatkan dalam kitab Hayat al-Sahabah karangan Sheikh Yusuf al-Kandahlawi dan al-Rahiq al-Makhtum, karangan Safi al-Rahman al-Mubarakfuri, tentang kisah pengembaraan dakwah Mus'ab di Madinah serta kejayaannya berdakwah kepada Sa'ad bin Mu'az dan Usaid bin Khudair yang merupakan tokoh pemimpin golongan bangsawan Madinah. 

Sebelum memeluk Islam lagi, Mus'ab terkenal sebagai seorang yang sentiasa berpakaian kemas dan mewah sehingga dia menjadi kegilaan gadis-gadis di Makkah. Namun,segala-galanya berubah selepas cahaya keislaman mula menyinari hatinya. Sokongan kebendaan daripada ibunya mula diberhentikan selepas ibunya mendapat tahu keislamannya. Mus'ab kini tampil dalam keadaan yang amat sederhana dan berpakaian yang serba zuhud,lantas meninggalkan kesenangan dan penampilan silamnya.

Antara misi penting yang digalas olehnya adalah untuk menyebarkan dan mengajarkan agama Islam di Madinah, setelah orang dari Madinah datang ke Makkah menyatakan keislamannya dalam peristiwa baiah. Mus'ab telah berhijrah ke Madinah lebih awal daripada para sahabat yang lain,atas dasar arahan Nabi Muhammad s.a.w. 

MADINAH BERCAHAYA

Dalam satu pengalamannya ketika berada di Madinah, beliau telah keluar bersama As'ad bin Zurarah ke sebuah perkampungan Bani Zafar. Mereka duduk di tepi perigi Marq dan Mus'ab mengajar kepada golongan yang baru memeluk Islam itu beberapa perkara tentang Islam. Kedatangan mereka telah disedari oleh Sa'ad bin Mu'az dan Usaid bin Khudair,lantas Sa'ad mengarahkan Usaid untuk menghalau Mus'ab dan kumpulannya dari situ. Sa'ad berteriak kepada Usaid : "Dua orang pemuda itulah yang telah memperbodohkan amalan kita. Ayuh! Kau halau mereka dari sini. Kalaulah bukan kerana As'ad bin Zurarah itu anak saudaraku, tentu aku sendiri yang akan menghalaunya."

Usaid lalu mengambil tombaknya dan menuju ke arah kumpulan Mus'ab dan As'ad. Sebaik sahaja As'ad terlihat kelibat Usaid yang sedang menuju ke arah mereka, As'ad merasakan itu adalah suatu peluang besar, lalu beliau berkata kepada Mus'ab : "Usaid adalah ketua kabilah dan dia sedang menuju ke sini. Aku berharap kau dapat menjelaskan kepadanya tentang keagungan Allah." Usaid tiba di hadapan mereka sambil membentak keras dan memberi amaran kepada mereka berdua agar segera beredar. Mus'ab dengan tenang menjawab : "Sudikah tuan duduk sebentar dan dengar dahulu perkara yang ingin kami sampaikan? sekiranya tuan berasa senang dengan kata-kata kami,teruskan mendengarkannya,dan jika tuan tidak menyukainya, kami akan berhenti dan beredar dari sini." "itu adalah terbaik dan seadilnya.",jawab Usaid lalu beliau menekan tombaknya ke tanah dan memberi perhatian terhadap apa yang ingin disampaikan oleh Mus'ab.

Mus'ab lalu membaca beberapa potong ayat al-Quran dan menerangkan tentang Islam kepadanya. Ternyata kalimah kebenaran yang diungkapkan dengan keikhlasan oleh Mus'ab bin Umair telah menusuk masuk dalam hati Usaid, menyebabkan beliau bertanya : "Alangkah indah kalimah yang engkau ungkapkan,bagaimana aku hendak memeluk agama ini ?" Mus'ab menerangkan : "Pertamanya, kamu harus bersuci kemudian membersihkan pakaian,seterusnya mengucap dua kalimah syahadah dan akhirnya kamu hendaklah menunaikan solat dua rakaat," Usaid kemudiannya melaksanakan tuntutan-tuntutan tersebut dan kemudian mencadangkan pula agar mereka menyeru Sa'ad bin Mu'az pula. Beliau berkata : "Bersamaku ada seorang lelaki,jika beliau masuk Islam,maka tidak ada seorang pun daripada kaumnya yang tidak akan mengikutinya." Usaid akhirnya berjaya mengatur pertemuan antara Sa'ad dengan Mus'ab dan akhirnya dengan kebijaksanaan Mus'ab, Sa'ad telah memeluk Islam pada hari itu bersama-sama sekalian pengikut dan kaumnya.

Itulah sekelumit kisah daripada pengembaraan dakwah Mus'ab bin Umair di Madinah. Tiada pintu yang tidak diketuknya, melainkan setiap ahlinya akan masuk Islam sehingga segenap pelosok Madinah bercahaya dengan aqidah yang benar ini. Berita ini tiba kepada Rasulullah dan menyebabkan Baginda amat gembira, lalu datang perintah untuk berhijrah selepas keislaman majoriti penduduk Madinah.

KEDUA-DUA TANGANNYA DI CANTAS

Kisah keberanian Mus'ab ini terserlah begitu jelas dalam peperangan Uhud, apabila takdir Allah telah menetapkan beliau syahid. Dalam peperangan itu, beliau telah menunjukkan kecekalan yang luar biasa. Ketika keadaan tentera-tentera Islam menjadi genting dan berkecamuk,tentera Musyrikin telah mengambil peluang ini untuk menghancurkan saf tentera Islam, dengan ikhtiar untuk menjatuhkan panji Islam yang dibawa oleh Mus'ab. Dalam serangan hebat itu,tangan kanannya telah dicantas,akan tetapi Mus'ab sempat memegang panji itu dengan tangan kirinya pula. Namun,serangan masih berterusan sehingga mereka berjaya menetak tangan kirinya sehingga terputus. Namun,dengan sisa-sisa tenaga yang ada padanya,beliau mengepit panji itu di antara dada dan lehernya sehingga akhirnya beliau syahid dibunuh oleh Ibn Qami'ah.

Semasa pengebumiannya,tiada kain yang cukup untuk menutup jasadnya. Apabila kain ditarik untuk menutup wajahnya,maka kakinya akan terdedah. Apabila kain itu ditarik untuk menutup kedua-dua kakinya, maka kepalanya pula akan terbuka. Akhirnya Nabi s.a.w memerintahkan agar kain itu digunakan untuk menutup wajahnya manakala bahagian kakinya ditutup dengan daun-daun kering.

Semoga kisah Mus'ab bin Umair ini dapat menjadi inspirasi kepada setiap pemuda Islam hari ini dalam memperjuangkan Islam..InsyaAllah~


                                                                                                         solusi 38...

fisabilillah~

Friday 23 December 2011

.: TiNtA DaRi HaTi :.



.: Bismillahirrahmanirrahim :.



Alhamdulillah,bersyukur kepada Allah kerana masih memberi kesempatan kepadaku untuk meneruskan kehidupan sebagai seorang hamba dan juga khalifah di bumiNya ini. InsyaAllah,tugas utama manusia itu diciptakan tidak akan sekali-kali aku lupa.


 Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya
(2:30)


 Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya 
 ( 51: 56-58)





Ye,itulah tugas utama manusia diciptakan..sebagai seorang hamba yang sentiasa mengabdikan diri kepadaNYA,dan juga sebagai seorang khalifah yang mentadbir bumi Allah dengan keamanan..



Kehidupan sebagai seorang pelajar memang menuntut ku untuk sentiasa memberi perhatian yang lebih pada pelajaran. Apalagi bila diberi bebanan kerja yang sangat banyak. Sampai kadang-kadang rasa,masa untuk diri sendiri pun makin berkurang. Tapi aku perlu sentiasa ingat bahawa kejayaan dalam pelajaran ni la akan menjadi salah satu alat dalam aku meneruskan misi sebagai khalifah Allah.



Dan kesibukan-kesibukan itu juga bukanlah menjadi sebab untuk aku mengelak dari mengikuti tarbiyah. Sungguh,aku sangat bersyukur kerana dipilih oleh Allah untuk berada di jalan ini. Bertemu dengan mereka-meraka yang sentiasa mengingatkan aku tentang Allah,mengingatkan aku tentang tujuan aku diciptakan. Alhamdulillah..dan aku sentiasa berdoa agar aku sentiasa terthabat di jalan Allah..
 

Katakanlah (Muhammad), "inilah jalanku,aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak
(kamu) kepada Allah dengan yakin,Mahasuci Allah,dan aku tidak termasuk orang-orang musyrik."
(12 : 108)


Ya Allah,moga tarbiyah ini benar-benar mentarbiyah diriku,mentarbiyah hati dan jiwa ku, mertarbiyah pemikiran ku,dan mentarbiyah seluruh kehidupan ku.Ya Allah,jangan palingkan hatiku setelah Engkau kurniakan hidayahMu kepadaku. Sungguh,tidak aku sanggup untuk terjatuh dilubang yang sama buat kedua kalinya. Cukuplah sekali, Engkau biarkan aku merasa manisnya hiburan dunia yang sangat melalaikanku. Aku gembira ada di jalan sekarang,aku gembira berada dalam "bulatan gembira",di mana semuanya gembira menjalankan perintahMu. Ya Allah,berikan aku kekuatan dalam menyelusuri jalan ini. Aku tahu,jalanMu ini punya beribu halangan,beribu dugaan, namun ku  yakin pasti Engkau sudah menyediakan berjuta keindahan disebalik kesukaran itu. Moga rahmat dan perlindunganMu sentiasa mengiringi perjalananku. Amin~




  

Dari bulatan ini aku mengenal diri. Dari bulatan ini aku mengenal Pencipta diri. Dari bulatan ini aku mengetahui tujuan penciptaan diri ini. Dari bulatan ini aku mengenali apa itu ukhwah. Dan dari bulatan ini aku dapat merasa manisnya ukhwah yang terbina keranaNya. Walaupun dari latar belakang yang berbeza, tapi kerana satu akidah dan tujuan yang sama,kita duduk dalam bulatan ini bersama. Moga bulatan kecil ini akan menghasilkan bulatan-bulatan kecil yang lain. Dan moga "bulatan gembira" ini akan terus gembira dalam menuju Keredhaan Allah~